Thursday 30 September 2010

Mutiara 30 : Menyuruh Keluarga Mentaati Allah

(Bab 38 : Menyuruh Keluarga Mentaati Allah, Hadits RS298-RS302)


Allah Taala berfirman:

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” (Thaahaa, 20:132)

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim, 66:6)


Imam Nawawi mengulangi hadits “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas yang dipimpin” (M89/RS283/RS300) yang terdapat dalam bab yang terdahulu di dalam bab ini. Seorang suami, bapa, datuk, ibu dan sebagainya tidak hanya bertanggungjawab dalam keperluan kebendaan sahaja ke atas orang-orang yang dipimpin mereka. Mereka juga bertanggungjawab dalam urusan ibadah.

Rasulullah s.a.w. menunjukkan tauladan dalam baginda mendidik cucu (RS298) dan anak tiri baginda (RS299). Baginda mengeluarkan kurma yang disedekahkan dari mulut cucunya, Hasan, dan mengajar anak tirinya adab makan. Rasulullah juga mengajarkan:

M94. Dari Amr bin Syuaib dari bapanya dari datuknya r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Perintahlah anak-anak kamu bersolat sewaktu mereka berusia tujuh tahun. Pukullah mereka kalau mereka mencuaikannya sewaktu berusia sepuluh tahun. Juga pisahkanlah tempat tidur mereka.” (RS301; Abu Daud)

Wednesday 29 September 2010

Mutiara 29 : Nafkah Keluarga

(Bab 36 : Nafkah Keluarga, Hadits RS289-RS296)


Allah Taala berfirman:

“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.” (Al-Baqarah, 2:233)

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya.” (Ath-Thalaaq, 65:7)

“Dan barang apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya.” (Saba’, 34:39)


M91. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Satu dinar kamu dermakan fisabilillah, satu dinar kamu gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar kamu sedekahkan kepada orang miskin dan satu dinar kamu nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan untuk keluargamu.” (RS289; Muslim)

M92. Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Cukuplah seseorang itu berdosa kalau ia mengabaikan tanggungannya.” (RS294; Abu Daud)

M93. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah. Dan mulakan dengan sesiapa yang ditanggungmu.” (RS296; Bukhari)

Saturday 25 September 2010

Mutiara 28 : Hak Suami

(Bab 35 : Hak Suami, Hadits RS281-RS288)


Allah Taala berfirman:

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).” (An-Nisaa’, 4:34)


M87. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jika suami mengajak isterinya untuk tidur bersama tetapi tidak dipenuhi sehingga menyebabkan kemarahan suami, malaikat melaknatnya sehingga ke pagi.” (RS281; Bukhari, Muslim)

M88. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak dihalalkan seorang isteri berpuasa semasa suaminya ada kecuali dengan keizinannya. Isteri juga tidak boleh membenarkan orang memasuki rumah tanpa keizinan suami.” (RS282; Bukhari, Muslim)

M89. Dari Ibnu Umar r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas yang dipimpin. Amir (penguasa) pemimpin, suami pemimpin keluarganya dan isteri pemimpin rumahtangga suami dan anak-anaknya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas yang dipimpin.” (RS283; Bukhari, Muslim)

M90. Dari Usamah bin Ziad r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

“Tidak aku tinggalkan sesudahku fitnah (ujian) yang lebih berbahaya bagi lelaki dari fitnah perempuan.” (RS288; Bukhari, Muslim)

Tuesday 21 September 2010

Mutiara 27 : Pesanan Berkenaan Perempuan

(Bab 34 : Pesanan Berkenaan Perempuan, Hadits RS273-RS280)


Allah Taala berfirman:

“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) dengan cara yang baik.” (An-Nisaa’, 4:19)

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisaa’, 4:129)


Islam mengatur segenap aspek kehidupan seseorang mukmin. Antaranya ialah di dalam pergaulannya dengan isteri.

M82. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Berpesanlah kepada wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang teratas. Jika kamu memaksa untuk meluruskannya, pasti ia patah. Jika kamu biarkan, ia tetap bengkok. Dengan itu berpesanlah kepada mereka dengan baik.” (RS273; Bukhari, Muslim)

M83. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Janganlah mukmin lelaki (suami) membenci mukmin wanita (isteri). Jika ia tidak suka suatu sifat, pasti ada sifat lain yang disukainya.” (RS275; Muslim)

M84. Dari Muawiyah bin Haidah r.a., katanya: Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas suaminya?” Baginda menjawab:

“Hendaklah kamu memberi makan jika kamu makan, memberi pakaian jika kamu berpakaian, jangan memukul mukanya, jangan mengaibkan dan jangan memboikot kecuali dalam rumah.” (RS277; Abu Daud)

M85. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Mukmin yang paling sempurna iman ialah yang paling baik akhlak mereka. Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya.” (RS278; Tarmizi)

M86. Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dunia adalah kesenangan (sementara) dan sebaik-baik kesenangan dunia ialah wanita (isteri) yang solehah.” (RS280; Muslim)

Sunday 19 September 2010

Mutiara 26 : Membantu Orang Miskin dan Lemah

(Bab 33 : Membantu Orang Miskin dan Lemah, Hadits RS260-RS272)


Allah Taala berfirman:

“Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.” (Al-Hijr, 15:88)

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia.” (Al-Kahfi, 18:28)

“Adapun terhadap anak yatim maka janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta maka janganlah kamu mengherdiknya.” (Adh-Dhuhaa, 93:9-10)

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (Al-Maa’uun, 107:1-3)


Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita membantu orang-orang yang memerlukan bantuan. Dalam hadits-hadits berikut baginda memaklumkan keutamaan membantu anak-anak yatim, orang-orang miskin termasuk yang tidak meminta-minta, janda dan anak-anak perempuan.

M78. Dari Sahl bin Saad r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Saya dan penjaga anak yatim di syurga begini.” Baginda berisyarat, menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah seraya merenggangkan sedikit antara keduanya. (RS262; Bukhari)

M79. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda:

“Bukanlah orang miskin itu orang yang tertolak satu atau dua biji kurma ataupun satu atau dua suap makanan. Sesungguhnya orang miskin itu ialah yang memelihara kehormatan (dari meminta-minta).” (RS264; Bukhari, Muslim)

Dan dalam riwayat lain dari kedua-dua kitab sahih ini:

“Bukanlah orang miskin itu orang yang berkeliling manusia lain sehingga tertolak satu atau dua biji kurma ataupun satu ada dua suap makanan. Orang miskin itu tidak mempunyai harta yang cukup tetapi beliau tidak memberitahu orang akan kemiskinannya agar mendapat bantuan atau berdiri untuk meminta-minta.”

M80. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin seumpama pejuang fisabilillah.” Periwayat mengira baginda juga menambah: “Dan seumpama orang yang bersolat malam tanpa henti dan orang yang berpuasa tanpa berbuka.” (RS265; Bukhari, Muslim)

M81. Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Sesiapa yang menjaga dua anak perempuannya sehingga dewasa, saya dan dia datang pada hari kiamat begini.” Baginda merapatkan jari-jari baginda. (RS267; Muslim)